ُ
ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA,
Image result for Pengisian Istiqamah
PENGISIAN ISTIQAMAH

Beristiqamah dalam sesuatu amalan kebaikan membawa banyak manfaat kepada pelakunya termasuk meningkatkan potensi dirinya dalam sesuatu perkara. Misalnya, seorang pekerja yang istiqamah dan tekun dalam tugasnya akan menjadikannya seorang yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, dapat mengawal gangguan emosi dan perasaan seperti kecewa atau putus asa serta menzahirkan tingkah laku positif.

Selain itu, terdapat beberapa lagi tanda-tanda orang yang beristiqamah sebagaimana disebut oleh Syeikh Usman bin Hasan Asy-Syakir al-Khaubawiyyi di dalam Kitab Durratun Nasihin iaitu seperti sentiasa memelihara solat lima waktu, sentiasa memelihara lisan daripada perkataan jahat, sentiasa menghindari prasangka buruk, tidak menghina sesama saudara, sentiasa bersederhana dalam semua keadaan, sentiasa bersedekah di jalan Allah, sentiasa memelihara pandangan daripada maksiat, tidak membanggakan diri dan sentiasa berpegang teguh dengan akidah yang betul.

Bagi memastikan istiqamah terhasil, maka kita perlu melalui tiga tahap :-

· Tahap istiqamah hati 
Sentiasa teguh mempertahankan kesucian iman dan memelihara hati daripada perkara syirik, menjauhkan diri daripada sifat-sifat tercela seperti riak, dan menyuburkan hati dengan sifat-sifat terpuji seperti ikhlas.
· Tahap istiqamah lisan 
Memelihara tutur kata daripada ungkapan cela dan sentiasa berkata benar, jujur, tidak berpura-pura, tidak bermuka-muka dan tidak berdolak-dalik seiring dengan tindakan yang dilakukan.
· Tahap istiqamah perbuatan 
Merangkumi ketekunan dalam melakukan amalan atau apa sahaja usaha untuk mencapai kejayaan yang diredai Allah SWT sehingga menghasilkan sikap dedikasi dan konsisten tanpa timbul rasa cepat kecewa, lemah semangat atau berputus asa. 
Firman Allah dalam surah Fussilat, ayat ke 30:

 “Sesungguhnya orang yang berkata: Tuhan kami ialah Allah SWT, kemudian mereka tetap di atas jalan yang betul, turunlah kepada mereka malaikat dengan berkata: Janganlah kamu bimbang dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.”

LANGKAH MENANGANI TIADANYA ISTIQAMAH

Bagi mereka yang tiada istiqamah akan mudah diserang rasa kecewa dan putus asa apabila sesuatu yang diharapkan tidak tercapai. Bahkan mereka juga akan menghadapi dan menemui banyak kegagalan. Antara faktor yang menggagalkan usaha istiqamah ini adalah kelemahan benteng diri Muslim dalam mempertahankan kesucian dan ketakwaan jiwa mereka.

Langkah bagi menanganinya:

· Muraqabah iaitu mengingati Allah SWT dengan cara memikir, merenung dan meneliti kebesaran ciptaan-Nya. Penelitian ini dilakukan dengan menggunakan pandangan mata hati yang penuh keyakinan dan keikhlasan kerana Allah SWT.
· Muwahadah iaitu iltizam seseorang atas nilai-nilai kebenaran Islam kerana dirinya telah beriktikad dan berikrar di hadapan Allah SWT.
· Muhasabah iaitu usaha seseorang hamba untuk melakukan perhitungan atas perbuatannya sama ada sebelum, semasa dan sesudah melakukannya.
· Mua’qobah iaitu seseorang menghukum terhadap dirinya sendiri di atas kesalahan yang telah dilakukan.
· Mujahadah iaitu seseorang berusaha untuk melawan dan menundukkan kehendak hawa nafsu dan mengaplikasikan seluruh nilai-nilai Islam dalam kehidupannya. 

Imam Bukhari merekodkan bahawa Saidatina Aishah RHA berkata: Rasulullah SAW bersabda: “ Wahai manusia, lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah SWT tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Amalan yang paling Allah SWT sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.”

KESIMPULAN

Seorang Mukmin perlu sedar bahawa amalan mulia yang dilaksanakan setakat ini seperti solat, puasa, zakat, haji, sedekah dan lain-lain tidak seharusnya terhenti di situ sahaja. Amalan tersebut perlu diteruskan dengan istiqamah bahkan dipertingkatkan kualiti dan kuantitinya dari semasa ke semasa bagi mencapai matlamat keredaan Allah SWT.

Sehubungan itu, bersama-samalah untuk merencana perubahan dan meneruskan proses istiqamah dengan:

· Sentiasa istiqamah dan berazam untuk mengekalkan amalan-amalan kebaikan fardu dan sunat.
· Berpegang kepada akidah yang benar dan menjauhi syirik, perkara-perkara maksiat dan mengekalkan ketaatan.
· Menyucikan hati dengan menghayati sifat syukur di atas segala kurniaan Allah SWT selama ini di samping melatih diri selalu mengingati kebesaran-Nya dan meninggalkan sifat mazmumah.
· Melazimi pakaian takwa dan patuh syariat
· Sentiasa tabah ketika menghadapi ujian, cabaran dan dugaan dalam hidup menerusi sifat sabar. Sabar dapat meningkatkan mutu ibadah dan akhlak terpuji.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia