Campaigns

Jun 26, 2015

# Ramadhan # Sharing

Ikhlaskah Kita?

Assalamu'alaikum & Selamat Petang..

Panduan untuk mengukur keikhlasan kita:-


1. Apakah kita sembahyang, wirid, zikir, doa dan baca Quran di rumah dengan di masjid ada perbezaan? Di rumah kita buat cepat-cepat dan lebih kurang sahaja sedangkan di masjid kita lakukan dengan penuh teratur, tertib, sopan, dengan suara sedap atau cuba sedap-sedapkan suara kita. Ertinya kita buat lebih baik bila berada di masjid yakni di depan orang ramai. Itu tandanya tidak ikhlas.

2. Pernahkah kita tidak buat sembahyang sunat sewaktu di rumah tetapi kita buat atau buat lebih banyak kalau di masjid? Kita buat kerana takut orang kata atau malu pada orang. Itu tandanya tidak ikhlas.

3. Kalau ada orang puji, apakah ada rasa berbunga, sedap dan suka hati? Waktu dikeji adakah rasa marah atau sempit dada dan sedih? Kalau terasa megah atau sedih, ertinya belum ikhlas.


4. Apakah kita menderma dengan bersyarat, misalnya mesti ditulis dalam daftar atau disiarkan dalam akhbar dan tv? Kalau tidak, kita tidak mahu menderma untuk masjid, surau, anak yatim, sekolah Islam dan lain-lain lagi. Atau terpaksa ditulis nama kita pada mana-mana batu asas. Kalau tidak, kita tidak menderma. Itu tanda tidak ikhlas..

5. Adakah kita membaca Al-Quran bertujuan untuk dapat hadiah besar atau piala dan lain-lain? Kalau tidak kita malas atau langsung tidak membacanya.Itu tanda tidak ikhlas.

6. Cuba kita renung-renungkan, adakah kita buat kebaikan kemudian suka sebut-sebut atau dengan harapan supaya orang itu balas kebaikan kita? Apakah selepas kita berbuat baik pada seseorang, kemudian bila dia lukakan hati kita, langsung kita berkata di depan atau di belakangnya: “Tidak patut engkau buat begini pada aku. Aku dah banyak tolong engkau. Kalau aku tak tolong selama ini, susah engkau. Memang orang tak kenang budi.” Ini juga tanda tidak ikhlas.

7. Pernahkah kita menderma hanya di depan orang tetapi kalau secara sembunyi, kita tidak menderma? Ini juga tidak ikhlas.


8. Apakah kita suka segala kebaikan hanya dicetus oleh kita sahaja? Bila orang lain yang buat kebaikan itu, kita tidak suka. Ini juga tidak ikhlas.

9. Adakah waktu kita berjawatan, kerana ada gaji dan elaun maka kita aktif dan gigih berjuang memperkatakan Islam? Kita bersyarah merata-rata tempat. Tapi bila tidak ada jawatan, kita tidak minat buat kerjakerja itu lagi. Atau kita ditukar jawatan, bukan jawatan agama lagi, langsung kita tidak minat sebut Islam lagi. Ini ada udang di sebalik batu namanya, tanda tidak ikhlas.

10. Apakah kalau pergi berdakwah di tempat yang jauh itu kita pandang pada elaun? Kalau tidak ada mileage dan elaun kita tidak pergi. Atau kalau pergi pun dengan hati yang berat. Terpaksa. Ini juga tanda tidak ikhlas.

11. Apakah kita ghairah menyebut Islam ini hanya dalam pidato-pidato atau seminar-seminar saja tetapi dalam perbualan-perbualan biasa tidak sibuk mengatakannya? Ertinya tidak sebut langsung fasal Islam. Ini juga tidak ikhlas kerana ada motif nama dan kemasyhuran.

12. Adakah kita sanggup mengajar hanya kerana kita diberi gaji? Kalau tidak ada gaji, kita tidak sanggup? Atau kalau mengajar juga secara terpaksa kerana takut dikatakan, ‘Ada ilmu, tapi tidak sampaikan ilmu!’. Itu tanda tidak ikhlas..

13. Pernahkah kita memperkatakan Islam itu hanya sewaktu-waktu kita harapkan dapat kerusi di Parlimen? Atau hendak tambat hati rakyat dengan harapan parti kita dapat memerintah? Tapi bila tidak ada kerusi lagi atau sudah tua, kita tidak sibuk-sibuk lagi memperjuangkan Islam. Ini ada kepentingan diri namanya. Juga tidak ikhlas.

14. Adakah kita buat teguran hanya pada orang-orang kecil atau orang bawahan sahaja? Tetapi bila tuan-tuan di atas kita buat kesalahan, kita tidak berani hendak tegur? Ini tanda tidak ikhlas.

15. Adakah di depan ramai sahaja kita kuat jaga disiplin? Berlakon jadi baik. Bila di belakang orang, hilang disiplin. Mulalah tidak dapat hendak kawal mata keranjang. Mula tidak dapat mengawal telinga, dan tidak berakhlak. Ini berakhlak tidak ikhlas namanya.

16. Adakah bila kita ada jawatan dalam kampung atau di masjid atau apa-apa juga jawatan dalam masyarakat, baru mahu berkorban? Tetapi bila tidak ada jawatan, tidak mahu berkorban lagi. Itu tanda kerja kita tidak ikhlas.

17. Renungkanlah, apakah kita mahu belajar Islam kerana ada jaminan masa depan? Kalau tidak, mungkin kita tidak belajar. Atau tidak bersungguh-sungguh belajar Islam. Ini juga tidak ikhlas.

18. Pernahkah kita beri bantuan kerana orang itu berbuat baik kepada kita? Sedangkan kalau orang tidak berbuat baik pada kita, kita tidak suka membantunya, walaupun orang itu patut dibantu.Ini juga tidak ikhlas.

19. Adakah kita rasa tidak senang bila ada orang sekali-sekala menggantikan kita berceramah atau bersyarah di tempat-tempat kebiasaan kita. Atau kita rasa bangga atau rasa senang hati kerana dia membantu kerja-kerja kita buat kebaikan? Jika tidak, ini juga tanda tidak ikhlas.

20. Pernahkah terjadi dalam mana-mana mesyuarat atau mana-mana perbincangan, kita mahu biarlah cadangan-cadangan yang baik dan bagus hanya datang dari kita? Kalau ada orang lain turut sama memberi pandangan walaupun baik, kita rasa tidak senang? Ini tanda tidak ikhlas. Orang yang ikhlas, dia mahu orang lain juga dapat memperkatakan kebenaran. Bukan hanya melalui dirinya seorang.
21. Adakah depan orang ramai saja ilmu Islam itu jadi bualan kita tetapi bila berhadapan dengan anak isteri, kita bungkam? Malas hendak memperkatakan Islam. Tidak ghairah hendak sebut hal-hal Islam atau hal-hal perjuangan. Ini juga kerana bermotif nama dan kemasyhuran. Depan anak isteri mana dapat nama atau kemasyhuran.

22. Adakah kita hantar anak belajar di satu-satu sekolah kerana mengharapkan didikan, tarbiah dan akhlak yang baik? Bukan kerana jaminan sijil atau dapat kerja? Atau sebaliknya yakni kalau tidak ada sijil atau tidak ada jaminan kerja, kita tidak hantar anak kita walaupun sekolah itu baik didikannya? Ini juga tidak ikhlas.

23. Adakah kita menutup aurat kerana orang suruh atau menutup aurat ini hanya di tempattempat yang tertentu sahaja? Atau di majlis-majlis rasmi sahaja seperti majlis kematian. Atau menampakkan sebahagian anggota yang terlarang atau pakaian terlalu ketat atau jarang? Atau bertudung untuk bermegah-megah? Ini semua tidak ikhlas.

24. Seorang yang pernah kita beri bantuan kerana dia patut menerima lantaran kemiskinan atau kesusahannya, kemudian dia cacatkan hati kita, apakah kita terus memberikan bantuan itu? Kalau kita teruskan memberi bantuan itu kepadanya, itu tanda ikhlas.

Cukuplah setakat ini contoh-contoh yang lumrah berlaku di tengah-tengah kehidupan kita. Agar ia menjadi kayu pengukur sejauh mana keikhlasan kita selama ini. Kita tentu ada penga-laman bersama dalam salah satu hal-hal yang berlaku di atas.


Kalau begitu ukurlah diri masing-masing, apakah usaha-usaha, kerja-kerja dan amal ibadah sudah ikhlas atau belum?Untuk mendapat ikhlas amat susah. Tetapi bila tidak ada ikhlas, ertinya tidak ada roh amal. Tidak ada nyawa ibadah. Walaupun manusia itu nampaknya hebat, di sisi Allah, tidak ada apa-apa nilai. Kosong. Ibarat habaan mansura yakni habuk-habuk yang berterbangan, hilang begitu sahaja.


Oleh itu, marilah kita sama-sama berdoa kepada Allah SWT:
“Ya Allah jadikan kami orang yang ikhlas. Jadikan usaha kami kerana-Mu. Jangan diselit di hati kami selain-Mu. Pimpinlah kami wahai Tuhan. Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Agar usaha-usaha kami tidak sia-sia. Amin. Ya Rabbal’alamin. Ya Mujibassailin, Wahai Tuhan yang menunaikan segala permintaan orang yang meminta.”Sesungguhnya orang-orang yang ikhlas itu balasannya ialah syurga seperti sabda Rasulullah SAW: Allah SWT berfirman, “Aku menyediakan bagi hamba-hamba-Ku yang soleh (ikhlas), apa yang belum terlihat oleh mata dan belum terdengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas dalam hati.” (Muttafaqun ‘Alaih).


14 comments:

Suka tak dengan N3 saya, kalau suka dan rasa terhibur boleh la tinggalkan komen anda.. Terima kasih

Anum Was Here

Salam Aidilfitri

Salam Aidilfitri
Tangan dihulur maaf dipinta, Erat hubungan sesama kita, Semoga gembira di hari yang mulia ini, Salah dan silap harap dimaafkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.

Qudut & Anum

Qudut & Anum

♥Google+ Followers ♥

✿YANG RAJIN KOMEN✿

♥ Peminat Anum♥

Labels

Follow Us @ anumkhairil.blogspot.my/